Pentadbiran Selangor tak perlu label Islamik, kata Azmin pada Hadi

MENTERI Besar Selangor Azmin Ali berkata PAS tidak perlu mempersoalkan sama ada dasar kerajaan negeri benar-benar mengikut kaedah Islam.

Ini kerana, program dan pentadbiran yang dilaksanakan sudahpun menepati prinsip Islam tanpa perlu dilabel sebagai program Islamik, kata Azmin.

“Jadi nak tukar apa? Yang saya sebut tadi, program KISS, Peduli Sihat, air percuma, pembangunan, pengurusan kewangan yang berintegriti.

"Ini semua menepati prinsip-prinsip Islam tapi tak payahlah pakai label Islam di dalam program-program. Tidak payah labelkan KISS Islam atau projek pembangunan Islam," katanya

Beliau mengulas kenyataan Presiden PAS Abdul Hadi Awang yang menyeru rakyat Selangor untuk menukar sokongan dalam pilihan raya umum akan datang dengan memilih parti yang berciri dan mengamalkan ajaran Islam.

Hadi berharap, perubahan itu dapat menjadi contoh kepada negeri lain, lapor sebuah portal pro-BN, Antarapos.com.

“Orang Islam yang memimpin dahulu. Biar orang Islam ke depan. Pilih calon-calon Islam yang boleh menegakkan ajaran Islam," katanya seperti dipetik portal itu.

Hadi juga berkata parti itu komited untuk berlaku adil kepada semua kaum di negeri ini sekiranya PAS dipilih untuk menjadi kerajaan.

Mengulas lanjut kenyataan Hadi itu, Azmin menambah apa yang lebih penting adalah sebuah kerajaan yang peduli rakyat yang mementingkan keadilan sosial.

"Yang pentingnya prinsip keadilan sosial dan prinsip pengagihan adil itu mesti dipertahankan jangan negeri kaya tapi rakyat miskin. Itu tidak adil itu zalim,” kata ahli parlimen Gombak itu.

Beliau juga yakin rakyat Selangor kini bijak menilai dan akan memilih calon Pakatan Harapan dalam Pilihan Raya Umum ke-14.

"Kita kena yakin kemampuan rakyat untuk membuat keputusan. Apa yang kita laksanakan ini adalah sebahagian usaha kita.

"Apabila cukup tempoh kita serahkan mendat ini kepada rakyat biar rakyat yang menentukan masa depan negeri Selangor. Rakyat akan pertahankan sebuah kerajaan yang stabil dan berjaya menaikkan martabat rakyat," katanya lagi.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas majlis pelancaran Program Kasih Ibu Smart Selangor (KISS) di Padang Awam Kampung Permatang Kuala Selangor hari ini.
Share on Google Plus

About Voice Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan