Pemuda MCA silap faham Dr Mahathir





 Oleh Dyana Sofya


Dalam artikel yang disiarkan dalam portal berita The Malay Mail bertajuk ‘Mahathir: Apa nak bangga jual nasi lemak bawa Uber’, Tun Dr Mahathir Mohamad dipetik sebagai berkata bahawa “tiada apa yang perlu dibanggakan jika lulusan universiti kini menjual nasi lemak dan memandu Uber sebagai punca rezeki... ia menunjukkan kerajaan gagal menyediakan peluang kerja yang sepadan.”

Kenyataan Dr Mahathir sebenarnya mengkritik kerajaan Barisan Nasional yang gagal membela kebajikan anak muda dan bukannya memperkecilkan mereka yang pandai mencari jalan untuk pendapatan sampingan.

Kenyataan beliau merujuk krisis kerjaya yang sedang melanda kebanyakan anak muda kita.
Walaupun anak muda Malaysia bijak atau “resourceful” dalam mencari punca pendapatan, kita tidak dapat menolak hakikat bahawa kebanyakan anak muda termasuk graduan tidak dapat mencari pekerjaan yang setaraf dengan tahap pendidikan mereka dari segi gaji mahupun peluang pekerjaan.

Malah, menurut Laporan Tahunan Bank Negera Malaysia yang dikeluarkan tahun lepas, kadar pengangguran belia mencecah 10.7 peratus, iaitu tiga kali ganda lebih tinggi daripada kadar pengangguran nasional, 3.1 peratus.

Naib ketua Pemuda MCA Nicole Wong berkata bahawa Dr Mahathir juga pernah menjual pisang goreng semasa Perang Dunia Kedua.

Adakah Nicole ingin mengatakan bahawa keadaan negara sekarang terlalu teruk bagai Perang Dunia Kedua sehingga graduan anak muda terpaksa menjual nasi lemak dan menjadi pemandu Uber?

Nicole kemudiannya menuduh Dr Mahathir mahu graduan menjual badan, atau menjadi pelacur dan terlibat kegiatan rempit sekiranya tidak menjual nasi lemak atau menjadi pemandu Uber. Terang sekali Nicole terlepas isi penghujahan Dr Mahathir.

Adakah universiti kita melatih berjuta-juta anak muda Malaysia selama bertahun-tahun dalam pelbagai jurusan profesional sehingga tahap sarjana muda untuk menjadi pemandu kereta?

Walaupun tidak salah untuk memilih sedemikian, tapi kita harus peka dan bertanya, adakah mereka memilih jalan tersebut ataupun terpaksa kerana kesempitan hidup dan kekurangan peluang saksama yang berpunca daripada polisi kerajaan Barisan Nasional yang gagal membela kebajikan anak muda Malaysia.

Yang pandai anak muda mencari usaha untuk hidup, yang tidak pandai kerajaan Barisan Nasional dalam menangani anak muda.

* Dyana Sofya seorang ahli majlis eksekutif Pemuda Sosialis DAP
Share on Google Plus

About Voice Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan