PAS sebagai qudwah siasah?

Oleh Rozhan Othman
 
PAS merupakan antara parti politik Malaysia dengan sejarah yang lama. Ia adalah sebuah parti yang berpengalaman. Tidaklah janggal jika kita lihat pengalaman PAS sebagai suatu yang memberi banyak pengajaran. Barangkali kita boleh menjadikan PAS sebagai qudwah dan mengambil iktibar.

PAS ditubuhkan selepas golongan agama dalam Umno tidak berpuas hati dan keluar meninggalkan Umno pada 1951. Mereka melihat Tunku Abdul Rahman tidak memberi ruang kepada golongan agama memainkan peranan.

PAS telah bertanding dalam pilihan raya umum selepas itu dan berjaya memenangi satu kerusi. Sejak itu, PAS menjadi saingan utama kepada Umno.

PAS lebih kuat di Pantai Timur dan pernah menubuhkan kerajaan di Kelantan, Terengganu dan Kedah. Ia hanya berkuasa lama di Kelantan. PAS tidak berjaya mengekalkan pemerintahannya di Kedah dan Terengganu melebihi satu penggal.

PAS pernah memerintah Terengganu pada 1959, dan kekal hanya selama 2 tahun, selepas tumbang apabila beberapa Adun PAS berpaling tadah dan menyertai Umno.

Walaupun PAS kuat bersengketa dengan Umno, ia bersetuju menyertai BN pada 1973. Namun, penyertaan PAS dalam BN tidak kekal lama.

Selepas krisis dalaman kerajaan Kelantan pada 1978, PAS keluar dari BN. Pada pilihan raya negeri selepas itu, PAS tewas dan BN mengambil alih Kelantan.

Hubungan PAS-Umno ibarat hubungan wanita yang mengalami sindrom isteri didera (battered wife syndrome). Walau didera, si wanita masih ingin kekal dengan pasangan yang menderanya.

Walaupun PAS menyertai BN dan kerajaan persekutuan pada 1973, ini tidak menghalang Umno dari berusaha menjatuhkan PAS di Kelantan.

Hubungan PAS-Umno hari ini pun sama juga. Walau pun PAS sedang berasmara dengan Umno, ia tidak menghalang Umno dari mengatur serangan untuk memusnahkan PAS di Kelantan. Inilah agaknya yang dikatakan cinta monyet.

Pada 1987, persengketaan dalam Umno menyaksikan golongan digelar sebagai Team B keluar menubuhkan Semangat 46. Parti baru ini kemudiannya berjaya menjalinkan kerjasama dengan PAS dan ini menghasilkan kejayaan kepada PAS yang mengambil alih kerajaan negeri Kelantan pada PRU 1990.

Selepas PRU ke-13, PAS mula menunjukkan kecenderungan untuk mendampingi Umno. Sebenarnya, proses ini bermula sejak PRU ke-12 lagi. Ketika itu, beberapa pemimpin PAS telah mengadakan rundingan dengan Umno mengenai penubuhan kerajaan negeri Selangor.

Namun, ia tidak menghasilkan sebarang persetujuan. Yang pasti, PAS telah bersedia membelakangkan rakan-rakan lain dalam Pakatan Rakyat sejak ketika itu lagi.

Satu perkara yang menarik ialah tindakan yang diambil Pakatan Harapan (PH) sejak 2015 mula menyerupai tindak-tanduk PAS. Jika PAS mula mendampingi seterunya Umno, PH telah mula mendampingi seterunya Tun Dr Mahathir Mohamad. Seolah-olah PH mengikut qudwah PAS.

Bezanya, pendekatan PH dilakukan secara telus dan setelah dibincangkan di kalangan kepimpinan parti komponen. Keputusan PAS mendampingi Umno pula merupakan satu keputusan yang diseludup masuk oleh golongan yang hari ini digelar “lebai tembikai” (hijau di luar tetapi berwarna merah di dalam).

Tindak-tanduk yang diambil oleh mereka ini sejak PRU ke-13 tidak pernah dibincangkan mahu pun diputuskan secara rasmi dalam PAS sendiri. Dalam hal ini, PH berbeza dari PAS.

Ada pengulas mengatakan apabila PH memutuskan untuk menjadikan Dr Mahathir sebagai calon perdana menterinya, ia tidaklah berbeza dengan keputusan beberapa pemimpin PAS menginginkan Tengku Razaleigh Hamzah sebagai calon perana menteri pada 2013.

Bezanya, keputusan PH diputuskan secara telus bersama pemimpin parti komponen selepas satu proses perbincangan. Keputusan PAS menginginkan Tengku Razaleigh sebagai perdana menteri sebaliknya telah diseludup masuk oleh segolongan pemimpin PAS.

Jika dilihat secara kasar, PAS seharusnya berbangga kerana tindak-tanduk PH seolah-olah mengikuti tindak-tanduk PAS. Adalah aneh jika PAS mengecam PH kerana berbaik dengan Dr Mahathir sedangkan ia berbaik dengan parti yang pernah dikafirkannya.

Demikian juga, tidak ada sebab PAS harus mengkritik PH kerana memilih Dr Mahathir sebagai calon perdana menteri sedangkan ia inginkan Tengku Razaleigh sebelum itu. Lagi pun Dr Mahathir sebahagian dari PH; Razaleigh adalah orang luar yang berwala’ kepada Umno.

Demikian juga, PAS tidak boleh marah kerana ada golongan yang keluar PAS dan menubuhkan Amanah kerana tidak berpuas hati dengan perkembangan dalam parti itu. PAS sendiri ditubuhkan oleh golongan agama yang keluar meninggalkan Umno kerana tidak berpuas hati dengan Umno.

Kita perlu lihat bahawa di sebalik persamaan-persamaan ini, terdapat perbezaan yang besar di antara PAS dan PH. Proses pembuatan keputusan dalam PH melalui proses syura yang melibatkan pemimpin semua parti. Ia telah dibahaskan dan diputuskan selepas perbincangan yang berpanjangan.


Dalam politik, memang lumrah untuk berlaku infleksi. Parti akan mengubah pendirian dan pendekatan. Keputusan politik lazimnya merupakan ijtihad. Pemimpin PH bukan orang suci atau rahib. Oleh itu, kepimpinan parti PH tidak memaksakan keputusan mereka melalui tuntuan wala’ atau melalui kecaman.

Proses pembuatan keputusan dilakukan secara demokratik dan berdasarkan pertimbangan strategik. Mereka tidak mempergunakan agama untuk mendakwa hanya keputusan mereka yang mengikut sunnah. Inilah perbezaan di antara parti yang bersifat demokratik dan parti teokratik.

Rakyat perlu memilih sama ada inginkan Malaysia yang demokratik atau Malaysia yang teokratik.
Sekiranya sebelum ini kita dipimpin oleh pemerintahan autokratik yang menunggang perjuangan bangsa, inginkah kita dipimpin oleh pemerintahan autokratik yang menunggang agama?

Qudwah yang kita lihat sudah jelas.
Share on Google Plus

About Voice Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

1 comments:

  1. Syabas Sdr Rozhan Othman, suatu tulisan dan kupasan yang cukup ilmiah serta tepat dengan situasi semasa.

    BalasPadam