Delima Memilih Calon-Calon PRU ke 14 Untuk PH


Oleh HAYAR HASSAN


Setelah riuh rendah berkaitan soal calon Perdana Menteri Pakatan Harapan(PH) dan pengagihan kerusi-kerusi Parlimen Semenanjung Malaysia Barat di antara parti-parti komponen PH mulai reda, isu seterusnya adalah pemilihan bakal-bakal calon PH. Lazimnya pemilihan bakal calon-calon ini adalah tanggongjawab pimpinan parti-parti berkenaan.

Formula asas yang sering diketengahkan adalah calon-calon yang boleh memenangi sesuatu kerusi (winnable candidates). Oleh yang demikian, banyak kriteria yang akan diambil kira sebelum sesaorang itu dimuktamadkan sebagai calon kerusi Parlimen atau pun Dewan Undangan Negeri(DUN) dan diberikan watikah daripada partinya.

Menyorot kembali pasca beberapa PRU yang lalu, mencari calon-calon yang benar-benar komited dengan perjuangan dan idealisma pakatan pembangkang di Malaysia bukan lah suatu perkara yang mudah. Bermacam-macam cerita negatif dan memualkan telah terakam dalam sejarah beberapa Pilihan Rayu Umum(PRU) lalu.

Calon yang  mempunyai kelulusan professional seperti peguam, doktor, jurutera, akauntan atau lain-lain lulusan universiti bukan lah selalunya tepat dan boleh diharapkan untuk membawa idealisma perjuangan pakatan pembangkang. Ternyata ada yang gagal apabila menerima tekanan dan ujian yang dilakukan oleh UMNO/BN.

Penulis masih ingat kisah yang memualkan bagi penyokong-penyokong PAS sewaktu mencari calon  yang berkaliber untuk Parlimen Kuala Kangsar(P 67) semasa PRU ke 7 (1986) melawan calon UMNO/BN, Tan Sri Rafidah Aziz yang pada waktu itu adalah Ketua Wanita UMNO dan juga menjawat jawatan Menteri Perdagangan Dan Perindustrian Malaysia ketika itu.

Dalam usaha mencari seorang calon yang dikatakan berkaliber dan mempunyai kelayakan ekademik yang setara dengan calon UMNO/BN, muncul seorang ahli perniagaan yang dikatakan baru menjadi ahli PAS@broker, menawarkan seorang peguam muda sebagai calon PAS Parlimen Kuala Kangsar. Tawaran ini pada mulanya ditentang oleh aktivis-aktivis dan AJK PAS Kuala Kangsar memandangkan bahawa calon dan broker tersebut bukan orang tempatan dan hanya baru muncul di Kuala Kangsar.

Walau pun berlaku perbezaan pendapat, akhirnya Pas Kuala Kangsar bersetuju juga untuk meletakkan  peguam muda itu menjadi calon Parlimen PAS . Dari tarikh penamaan calon hingga lah menjelang dua hari, hari membuang undi, penulis dan penyokong-penyokong PAS Kuala Kangsar bertungkus lumus, siang malam berkempen untuk memberikan saingan yang sengit kepada calon UMNO/BN. Semangat kami cukup tinggi kerana pertama kali PAS Kuala Kangsar mengemukakan seorang peguam sebagai calon Parlimen.

Tiba-tiba calon PAS dan broker  tersebut menghilangkan diri dan sukar untuk dihubungi. Semasa Berita Perdana malam berikutnya, wajah calon tersebut muncul di muka TV dan mengumumkan bahawa dia menarik diri daripada menjadi calon PAS. Esoknya berita tersebut muncul di dada-dada akhbar arus perdana. Bayangkan betapa kecewanya penyokong dan ahli PAS seluruh Negara. UMNO/BN menang besar pada PRU ke 7 itu.

Menurut maklumat yang boleh dipercayai, calon tersebut dan brokernya telah dijanjikan sejumlah kawasan balak di Hulu Perak.

Kisah kedua yang cukup menarik juga berlaku kepada calon Parlimen PKR Bagan Serai(P 58) dalam PRU Ke 12. Dalam PRU ini, calon PKR ini telah menang mengalahkan calon BN. PRU ke 12 adalah pertama kalinya UMNO/BN telah kehilangan majoriti 2/3 di Parlimen dan lima buah Dewan Undangan Negeri(DUN) telah dimenangi oleh Pakatan Rakyat(PR). Dalam keadaan yang agak kritikal itu, UMNO/BN telah menjalankan beberapa tindakan politik yang telah semua kita tahu akan hasilnya. Kerajaan PR di Perak telah tumbang selepas hanya dua tahun memerintah. Ini terhasil apabila empat orang ADUN PR melompat ke BN.

Dikhabarkan Ahli Parlimen Bagan Serai tersebut telah gagal melunaskan hutangnya dengan sebuah bank tempatan apabila projek ternakan lembunya bermasaalah. Beliau telah diberikan kata dua, melompat keluar daripada PR, menjadi calon bebas atau pun bakal dimufliskan kerana gagal membayar hutang banknya. Akhirnya beliau bersetuju menjadi Ahli Parlimen Bebas. Dikhabarkan juga beliau mendapat beberapa ratus ekar tanah ladang kelapa sawit di Sabah .

Kisah ketiga pula  berlaku kepada ADUN Penanti (N 12), Pulau Pinang. Setelah memenangi kawasan Penanti, beliau dilantik menjawat jawatan Timbalan Ketua Menteri . Hakikatnya tanggongjawab jawatan ini bukan lah mudah untuk dilaksanakan. Ianya nampak mudah, namun terlalu sukar untuk dijalani oleh sesetengah YB. Hanya politikus yang kuat semangat, berdisiplin dan bijaksana menguruskan masanya sahaja yang dapat melaluinya dengan penuh bergaya. Anggota keluarga YB  juga perlu memberikan dukungan yang kuat.

Kata orang setelah menjadi seorang YB, bermula daripada jam 6.00 pagi hinggalah dinihari, waktu dan tenaganya adalah dengan masyarakat dan pengundi. Perlu bekerja sepenuh masa dan tiada masa bercuti, bersantai-santai dengan keluarga lagi. Seandainya YB gagal menguruskan  masanya dengan baik, pelbagai masaalah akan timbul dan akhirnya partinya sukar untuk mengekalkan jawatan yang telah diamanahkan kepadanya.

Dalam tiga kisah yang dipaparkan di atas, ianya berlaku kepada calon-calon yang pertama kalinya menjadi calon parti pembangkang. Cabarannya bukan kecil dan bukan mudah untuk dilalui. Lazimnya mereka merupakan aktivis-aktivis parti atau sekadar penyokong parti yang mudah ditekan dan hilang idealism perjuangannya. Bagi ahli dan aktivis parti yang sudah beberapa kali bertanding dalam PRU, tentunya mereka sudah kaya dengan pengalaman berpolitik. Mereka sudah tahu sepak terajang musuh-musuh politik dan dapat membaca akan langkah-langkah politik seterusnya.

Adalah diharapkan dengan secebis tulisan ringkas ini dapat menarik perhatian pimpinan-pimpinan parti-parti dalam PH agar lebih berhati-hati dan lebih cermat dalam memilih calon-calon untuk kerusi-kerusi Parlimen dan DUN. Kelulusan ekademik dan petah berpidato bukan lah kriteria utama untuk seorang bakal calon PRU. Perkara yang lebih penting adalah komited dengan agenda perjuangan PH serta mempunyai daya tahan yang tinggi menerima tekanan dan tawaran kewangan dan harta daripada pihak musuh.

Seandainya kisah-kisah di atas berulang lagi menjelang hari mengundi atau selepas PH menempah kemenangan, ianya amat dikesali sangat. Amat dibimbangi sekiranya keputusan PRU ke 14 nanti , PH dan BN mendapat bilangan kerusi yang hampir sama. Jelasnya kemenangan yang hanya dengan majoriti mudah.

Akan berlaku lah percubaan membeli YB-YB dari kedua belah pihak. Yang sedihnya, hingga ke saat ini tidak peruntukan undang-undang dalam Perlembagaan Malaysia yang secara jelas menghalang daripada amalan jijik ini daripada terus berlaku. Pihak Kerajaan yang memerintah semacam sengaja membiarkan amalan ini untuk terus berlaku.
Share on Google Plus

About Voice Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan