Pakatan Harapan bakal rampas Parlimen, 3 Dun di Jerai pada PRU14

AMANAH Kawasan Jerai yakin kerusi Parlimen Jerai yang dimenangi oleh Datuk Seri Jamil Khir Baharom dan tiga lagi kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) akan dirampas kembali dalam PRU ke 14 oleh Pakatan Harapan (PH).

Ketua Pemuda AMANAH Kawasan Jerai, Mohd Ridzwan Arshad Ahmad berkata, parti itu menyasarkan kemenangan PH bukan saja bagi Parlimen Jerai, sebaliknya turut menyasarkan kerusi Dun Gurun, Sungai Limau dan Guar Chempedak yang menang majoriti tipis pada PRU13 lalu.

“Kemenangan tipis Datuk Seri Jamil Khir Baharom dengan hanya memperolehi majoriti 1,196 undi bukan suatu yang sukar untuk ditawan semula.

“Berdasarkan kepada gerak kerja dan turun padang menemui pengundi, majoriti sudah bosan dengan wakil rakyat BN yang mewakili Parlimen Jerai, ” ujarnya  selepas menziarahi beberapa pesakit dalam program peduli rakyat di Hospital Yan, kelmarin.

Katanya, pengundi bukan saja muak dengan pelbagai masalah infrastruktur dan kemudahan awam yang gagal dilaksanakan oleh wakil rakyat BN tersebut, sebaliknya sikap pilih kasih yang menjadi amalan mereka amat mengecewakan.

Justeru  ujarnya lagi, AMANAH optimis kerusi Dun Sungai Limau dan Guar Chempedak yang akan ditandingi parti itu, mampu diraih menyebelahi PH.

“Begitu juga bagi kerusi Dun Gurun yang akan ditandingi oleh PKR, mampu dirampas kembali dari BN yang hanya berjaya menang dengan majoriti 1,296 undi dalam PRU yang lalu.

“Sementara itu bagi Parlimen Jerai yang akan ditandingi oleh Bersatu, kesemua komponen PH akan memberi kerjasama dan komitmen yang bersungguh-sungguh bagi memastikan kerusi tersebut tidak jatuh kepada BN sekali lagi,” ujarnya.

Jelas Ridzwan lagi, kemenangan kerusi Dun Sungai Limau dalam pertandingan empat penjuru sebelum ini adalah hasil kerjasama semasa berada dalam Pakatan Rakyat.

Namun begitu dalam situasi terkini, PH telah berjaya menambat hati pengundi dan optimis dengan kemenangan yang mampu diperolehi daripada hampir 28 ribu pengundi bagi Dun tersebut.

“Majoriti yang diperolehi oleh BN bagi Dun Guar Chempedak dengan kelebihan 2,298 undi dalam PRU yang lalu bukan suatu yang sukar untuk dirampas oleh AMANAH.

“Untuk Dun Sungai Limau yang merupakan kerusi Pas tidak sukar untuk ditawan semula oleh AMANAH dalam PRU yang akan datang.

“Saingan hebat bagi Parlimen Jerai dan ketiga-tiga Dun dalam kawasan tersebut mampu memberi tamparan hebat bukan saja kepada BN, tetapi juga Pas yang menjadi rakan mesra Umno, ” ujarnya.
Share on Google Plus

About Voice Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan