Wasatiyyah sekadar perkataan Arab jika tidak diamalkan

BAGI Perdana Menteri Najib Razak dan sama juga seperti Abdullah Ahmad Badawi sebelumnya, Wasatiyyah dan Islam Hadhari hanyalah omongan kosong tanpa makna.

Wasatiyyah bermaksud kesederhanaan seperti disebut oleh Najib malam tadi tetapi di seluruh Malaysia sekarang, bukti semakin berkembang yang menunjukkan kesederhanaan kini semakin jadi nipis, akibat ekstremisme.

Malah, ketika isu dobi untuk Muslim saja berlaku, perdana menteri mengambil masa lama sebelum campur tangan dalam kemelut itu. Sultan Johor malah yang pertama mengeluarkan kenyataan bahawa sebarang bentuk diskriminasi adalah tidak Islamik.

Ahli politik, terutama daripada kerajaan pemerintah Barisan Nasional, semuanya senyap.
Sebaliknya, pendakwah dan tokoh agama yang menganjurkan perpecahan juga diterima oleh Putrajaya.

Ada dua orang. Seorang pendakwah India yang lari dari tanah airnya, Dr Zakir Naik dan Zamihan Mat Zin – yang khidmatnya digunakan dalam usaha memulihkan pengikut pengganas Islamic State.

Zamihan individu yang tidak sunyi dengan kontroversi. Tauliahnya mengajar agama di Johor dan Selangor ditarik balik susulan sokongannya terhadap dobi Muslim saja.

Dia tidak pernah memuji perdana menteri tetapi tetap kekal menerima gaji daripada kerajaan.
Jadi kesederhanaan apa yang perdana menteri cakapkan ini bila beliau berkata ia bukan saja sebahagian daripada tradisi Malaysia tetapi keperluan bagi negara dengan kepelbagaian agama dan kaum.

“Ia tidak selalunya mudah untuk semua orang. Kesederhanaan bukan pilihan mudah. Ia sesuatu yang kita perlu usaha untuk jadikan ia sebahagian hidup kita, bahagian penting dalam cara kita berfikir tenta orang lain dan tindakan kita,” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran penerbitan terbaru dan laman sesawang baru Yayasan Gerakan Kesederhanaan Global (GMMF) di Perdana Putera semalam.

"Inilah sebabnya saya memperjuangkan kesederhanaan atau wasatiyyah sebagai jalan terbaik kerana kesederhanaan menandakan kesempurnaan manusia yakni satu pengajaran yang bukan sahaja terkandung dalam ajaran Islam, tetapi juga dalam agama lain,” katanya.

Sentimen yang baik. Tetapi perbuatan lebih berkesan daripada kata-kata.

Kerajaan Najib perlu melangkaui kenyataan yang sudah pun ketara jelas mengenai kesederhanaan dan memastikan ia mengambil tindakan terhadap ucapan kebencian.
Rakyat sepatutnya menghormati satu sama lain, bukan sekadar toleransi, dan membantah mereka yang membuat kenyataan seperti menulis kembali buku suci orang lain, seperti dalam kes Bible Melayu.

Tidak terbayangkan yang kenyataan seperti itu dibenarkan dalam negara ini yang banyak bercakap tentang kesederhanaan.

Dan selagi individu seperti Zakir dan Zamihan masih ada dalam kalangan kita, dan terus tidak insaf daripada pandangan mereka, Wasatiyyah akan kekal hanya sebagai satu kalimah Arab, dan bukannya memenuhi semangat makna perkataan itu.

Perdana menteri perlu buktikan apa yang dilafazkan, bukan sekadar cakap tidak serupa bikin, atau Wasatiyyah akan menjadi sebahagian daripada kempen negara ini yang tidak menjadi dan hanya satu lagi bahan lawak.
Share on Google Plus

About Voice Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan