Dua 'gunung' buat AMANAH Terengganu

Tugas berat menanti Parti Amanah Negara (AMANAH) Terengganu apabila parti yang masih baru itu diberi tugas mencabar Datuk Seri Abdul Hadi Awang di kerusi parlimen Marang pada pilihan raya umum (PRU) akan datang.

Berdasarkan keputusan dicapai Pakatan Harapan (HARAPAN) Terengganu pada Jumaat lalu AMANAH diberikan kerusi berkenaan, selain kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rhu Rendang.
Kerusi DUN itu turut disandang Abdul Hadi.

Ketua Penerangan HARAPAN Terengganu Hambali Abdul Latiff memberitahu Malaysiakini kerusi parlimen Setiu dan Hulu Terengganu pula diserahkan kepada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU).

Katanya BERSATU menyasarkan untuk bertanding sekurang-kurangnya empat kerusi parlimen dan 10 DUN.

"Ketika ini empat kerusi parlimen sedang dirundingkan kerana berlaku pertindihan tuntutan," katanya (gambar).

Kerusi yang dimaksudkan itu ialah Besut (BERSATU dan AMANAH), Kuala Nerus (PKR dan AMANAH), Dungun (PKR-AMANAH) dan Kemaman (PKR dan BERSATU).

Terengganu mempunyai 32 kerusi DUN. Daripada jumlah itu 17 dimiliki BN, 14 PAS dan satu PKR.

Untuk kawasan parlimen pula secara keseluruhan ada lapan di Terengganu. Umno menguasai Besut, Kemaman, Hulu Terengganu dan Setiu. PAS pula - selain Marang - memenangi Kuala Nerus dan Dungun pada PRU ke-13 lalu.

Kerusi Kuala Terengganu pula dikuasai AMANAH melalui Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad.

Menurut Hambali rundingan pembahagian kerusi akan diteruskan dengan semangat setia kawan.

Pertahan kerusi tradisi

Dijangkakan ada satu atau dua pusingan rundingan dilakukan sebelum pembahagian kerusi itu dimuktamadkan.

Marang dianggap kubu presiden PAS namun mengikut keputusan PRU lalu ia bukanlah kerusi yang benar-benar selamat.

Abdul Hadi bertanding di Marang sejak PRU ketujuh (1986) dan pernah tewas dua kali kepada calon BN, Datuk Seri Abdul Rahman Bakar.

Kerusi yang paling selamat untuk PAS ialah Rhu Rendang yang diwakili Abdul Hadi sejak 1986.

Dalam keadaan semasa tidak dapat dipastikan peluang untuk AMANAH merampas kerusi Abdul Hadi itu kerana pertandingan tiga penjuru hampir pasti berlaku - kecuali BN enggan meletakkan calon di kedua-dua kerusi berkenaan.

Difahamkan sebelum ini AMANAH enggan meletakkan calonnya sebagai wakil HARAPAN di Marang dan Rhu Rendang sebaliknya cuba mendapatkan kerusi lain.

Sementara itu Pengerusi PKR Terengganu, Azan Ismail, menganggap keputusan mesyuarat Jumaat lalu sebagai "sangat sesuai" dengan semangat perkongsian HARAPAN.

"AMANAH sudah mempunyai dua kerusi parlimen untuk ditandingi para PRU ke-14, iaitu Kuala Terengganu dan Marang," katanya.

Mengulas pertindihan kerusi, Azan berkata PKR berharap mendapat sekurang-kurangnya tiga kerusi parlimen dengan dua daripadanya ialah "kerusi tradisi" mereka sejak PRU ke-10 lalu.
Share on Google Plus

About Voice Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan