Masa depan Amanah

Oleh Zin Mahmud

Baru ini  Amanah mengadakan konvensyen nasional tahunan keduanya di Alor Setar. Tahun lalu, ia diadakan di Shah Alam. Dijangka inilah konvensyen terakhir sebelum pilihan raya umum (PRU) ke-14 yang mungkin diadakan pada tahun depan.

Terdapat tanda-tanda berlakunya kejenuhan berpolitik. Tidak ada pengumuman atau kejutan baharu. Mana tidaknya, baru seminggu lalu, lebih kurang pemimpin yang sama berhimpun di Petaling Jaya dalam hentian akhir rangkaian jelajah kempen “Sayangi Malaysia, Hapuskan Kleptokrasi”.

Apa yang hendak dicakapkan sudah dicakapkan. Sekarang, apa yang diperlukan adalah undi rakyat.
Sementara aktivis Amanah sendiri pula sudah bergerak sejak 2 tahun ia ditubuhkan. Sebelum itu, mereka juga sibuk bekerja untuk PAS dan Pakatan Rakyat.

Tentu banyak aktivis mengharapkan pilihan raya umum diadakan segera untuk meraih hasil kempen mereka selama ini. Mungkin juga menangguh-nangguhkan pilihan raya ini adalah taktik Barisan Nasional (BN) untuk memenatkan aktivis Pakatan Harapan (PH) supaya habis segala peluru dan dayanya.

PRU ke-14 ini akan menentukan kedudukan Amanah dalam politik negara. Sama ada ia akan mengikut jejak parti serpihan dahulu yang hilang ditelan zaman, atau dapat bertahan dan melakar wajah baharu politik negara.

Walaupun konvensyen ini tidak menggemparkan dan menarik perhatian besar rakyat negara ini tetapi ia mempunyai keistimewaan tersendiri, lebih baik daripada majlis yang sama tahun lalu.

Ini kerana, bersamanya terdapat Pengerusi Pakatan Harapan, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Pada tahun lalu, PH belum distrukturkan semula dengan Dr Mahathir sebagai pengerusi. Kali ini ia lebih jelas, padu dan berfokus dengan Amanah mempunyai peranan penting sebagai parti yang mewakili politik Islam.

Kedah negeri Amanah

Satu lagi perkara yang istimewa terhadap konvensyen ini ialah ia diadakan di Kedah, sebuah negeri yang dianggap sebagai salah satu pangkalan PH. Ini kerana bukan saja Kedah adalah negeri Dr Mahathir, dan anaknya, Datuk Seri Mukhriz Mahathir sebagai bekas menteri besarnya, tetapi ia juga negeri Amanah.

Aktivis Amanah Kedah yang pada satu masa merupakan ahli PAS adalah antara mereka yang memenangi dan memimpin Kedah dari tahun 2008 hingga 2013. Di Kedah inilah juga bibit-bibit asas Amanah muncul dalam bentuk kumpulan yang kritikal terhadap pucuk pemimpin PAS apabila berlaku krisis mempertikaikan menteri besar Pakatan Rakyat, Tan Sri Azizan Abdul Razak.

Golongan inilah yang mula menubuhkan Persatuan Ummah Sejahtera Malaysia (PasMa) yang mempertahankan Pakatan Rakyat ketika mana PAS mahu meruntuhkannya melalui perselisihannya dengan DAP. Penyokong PasMa yang merupakan ahli PAS umumnya kemudian menyertai Amanah.

PAS yang tidak pernah memenangi Kedah hanya mampu mencapainya pada tahun 2008 kerana antara lain ia bekerjasama dengan DAP dan disokong oleh PKR. Inilah sering diingatkan oleh golongan progresif PAS dan PasMa kepada pucuk pimpinan parti itu, tetapi ia tidak diendahkan.

Kalau dalam Pakatan Rakyat dahulu, PAS merupakan parti utama dan dapat menerajui negeri itu, tetapi Amanah tidak akan dapat kedudukan seumpama itu. Ini kerana PPBM yang akan menjadi parti utama.

Pada perkiraan awal ketika ditubuhkan pada tahun 2015, Amanah melihat dirinya sebagai pengganti PAS dalam PH. Maknanya ia akan bertanding di kawasan yang PAS tanding dahulu ketika dalam Pakatan Rakyat.

Maka kalau dahulu, PAS diperuntukkan kerajaan negeri Kelantan, Kedah, Terengganu dan Perlis, tetapi kedudukan itu tidak boleh diwarisi oleh Amanah. Malah di Selangor, yang sepatutnya kerajaan Pakatan Rakyat diubah menjadi kerajaan PH pun tidak berlaku.

Ini kerana harapan supaya separuh daripada PAS menyertai Amanah tidak menjadi kenyataan. Ia tinggal harapan dengan Amanah menjadi lebih kecil.

Ditambah lagi dengan kehadiran PPBM, Amanah tidak boleh mewarisi PAS dengan begitu saja. Ia harus menerima PPBM dan perkara ini menjadi ketara di Kedah.

Mungkin Amanah boleh mengharapkan Perlis, negeri Setiausaha Agung Amanah, Anuar Tahir. Perlis juga mempunyai seorang mufti yang dilihat sebagai seorang ulama “progresif”.

Amanah sememangnya tidak mempunyai harapan di Terengganu, negeri Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang mana beliau pernah menjadi menteri besarnya. Amanah mempunyai harapan di Kelantan tetapi untuk memenanginya, ia akan mengalami pertarungan sengit dalam pilihan raya negeri.

Dengan pertandingan 3 penjuru, BN juga mengharapkan kejayaan di atas perpecahan PAS.

Amanah ada peluang menerajui Johor. Tetapi jika negeri itu jatuh ke PH, parti utama yang menerajui negeri itu mungkin adalah PPBM.

Johor adalah negeri presiden PPBM yang pernah menjadi menteri besar negeri itu. Kedudukan Johor adalah seperti Kedah bagi Amanah.

Tetapi PPBM adalah seperti Amanah yang mana PRU ke-14 ini akan menentukan sama ada ia dapat kekal lama dalam politik Malaysia.

Imej serpihan Amanah

Dalam sejarah Semenanjung Malaysia, parti serpihan sukar bertapak. Namun begitu, ada juga yang dapat bertahan lama.

PAS, Gerakan dan PKR adalah contoh parti serpihan yang bertahan lama. PAS adalah parti serpihan Umno walaupun penyertaan aktivis Hizbul Muslimin dan pemimpin Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) mengubah fahamannya.

Gerakan merupakan parti pecahan MCA. Tetapi penyertaan bekas aktivis Parti Buruh mengubah perwatakannya.

Begitu juga dengan PKR. Ketika awal penubuhannya, Parti Keadilan Nasional menampung banyak aktivis yang bukan Umno. Dengan gabungan bersama Parti Rakyat Malaysia, PKR muncul sebagai parti berbeza daripada Umno.

Tentunya antara persoalan yang timbul ialah sama ada Amanah akan dapat mengadakan Konvensyen Nasional Ketiga tahun depan, iaitu selepas pilihan raya, iaitu sekiranya ia gagal bertapak di mana-mana kawasan.

Andaikata ia gagal, adakah ahli-ahlinya akan menyertai PAS semula? Jika pembubaran berlaku, adakah sebahagiannya akan menyertai PKR.

Ini kerana ada pihak menyatakan bahawa dasar PKR dan Amanah tidak berbeza. Malah semasa penubuhannya, ada tokoh penyokong pembangkang menyatakan tidakkah wajar golongan progresif PAS menyertai saja PKR dan tidak perlu menubuhkan parti baharu.

Tokoh yang menguruskan pendaftaran Keadilan dahulu adalah orang yang sama dengan orang yang menguruskan pendaftaran Amanah iaitu Anuar Tahir. Malah dikatakan dasar asal PKR adalah apa yang ada pada Amanah pada hari ini.

Tetapi Amanah adalah parti pecahan yang berbeza daripada yang lain. Seringkali parti pecahan ditubuhkan atas dorongan seorang tokoh popular seperti PPBM dengan Dr Mahathir, PKR dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim, Semangat 46 dengan Tengku Razaleigh Hamzah, Berjasa dengan Datuk Muhamed Nasir dan Hamim dengan Datuk Asri Muda.

Namun Amanah ditubuhkan bukan kerana ketokohan presidennya, Mohamad Sabu atau penasihatnya, Ahmad Awang. Ia ditubuhkan atas kesepakatan bersama golongan progresif yang melihat kepimpinan PAS menjejaskan jalur perjuangan Islam.

Bukan pada tokoh

Oleh kerana ia tidak berorientasikan pada seorang tokoh, maka pendokongnya lebih ditarik pada fahamannya, iaitu politik Islam progresif. Slogannya ialah “Rahmatan Lil Alamin”, Rahmat Islam untuk sekelian alam. Istilah progresif ini sebenarnya tidak perlu. Tetapi ia digunakan bagi membezakannya daripada PAS.

Asalnya pun, Amanah hendak mendaftarkan dirinya sebagai Parti Progresif Islam. Nama Islam itu yang dipercayai menjadikannya ditolak. Tetapi progresif ini tidak bermaksud sederhana atau moderat seperti yang dipegang oleh kumpulan liberal Malaysia, G25. Ataupun konsep wasatiyyah yang dipegang oleh Umno.

Progresif Islam ini adalah pemikiran politik Islam pasca-Islamisme. Iaitu fahaman yang mengambil kira pengalaman yang dilalui oleh gerakan Islam sejak berlakunya Revolusi Islam Iran, pemerintahan Parti Keadilan dan Pembangunan (AK) di Turki serta pergolakan Arab Spring yang menubuhkan pemerintahan Islam demokratik di Tunisia dan Ikhwanul Muslimin di Mesir untuk beberapa ketika.

Maka Amanah mempunyai peranan bersejarah bagi mendorong terwujudnya negara Islam yang moden dan progresif selaras dengan kehendak Islam, iaitu bersifat inklusif, kepelbagaian, demokratik dan ramah.

Ia merupakan parti yang boleh menghalang negara daripada terjerumus kepada ekstremisme, reaksioner, konservatif, parokial, asabiah kelompok dan sekular terbalik.

Zin Mahmud ialah bekas pengarang kanan Utusan Malaysia.
Share on Google Plus

About Voice Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan