Better Beer Festival adalah acara untuk merasai produk pengeluar bir bebas. Penganjuran masuk tahun keenam pada tahun ini. Ia dianjurkan oleh pengedar bir MyBeer (M) Sdn. Bhd..

Islam sudah lama mengharamkan arak. Dalam Islam, arak ialah ibu segala kejahatan. Larangan minum arak bertujuan menjaga keperibadian manusia daripada perkara yang merosak dan merendahkan martabat ummah. Pengharamannya ditegaskan menerusi firman Allah SWT yang bermaksud: Mereka bertanya kepadamu tentang arak dan judi. Katakanlah: Pada keduanya terdapat dosa yang besar dan beberapa manfaat bagi manusia, tetapi dosa keduanya lebih besar daripada manfaatnya...(al-Baqarah: 219)

Kajian pakar jantung di Universiti Wisconsin, Amerika Syarikat, Dr. James H. Stein turut mengesahkan keburukan minum arak. Dalam artikelnya yang diterbitkan oleh Milwaukee Journal Sentinel pada 28 November 1998, beliau berkata, alkohol merosakkan jantung dengan melemahkan otot-otot, mengganggu cara jantung mengepam darah dan menaikkan tekanan darah. Alkohol juga merosakkan hati, menyebabkan radang pankreas, kanser esofagus dan juga kanser perut.

Yang membimbangkan, pesta itu mahu diadakan di Malaysia yang mana Islam adalah agama bagi negara. Lebih buruk lagi, ia mahu diadakan dalam bulan Muharam di mana kita menyambut Awal Muharam tahun 1439H, hari ini. Tema sambutan kali ini adalah Kesatuan Ummah Kesejahteraan Negara. Persoalannya, adakah ia satu kebetulan atau memang dirancang untuk melihat apa reaksi atau tindak balas umat Islam dalam hal ini.

Mustahil orang bukan Islam yang sudah menetap puluhan tahun di Malaysia tidak faham atau ‘buta’ tentang Maal Hijrah. Awal Muharam atau Maal Hijrah adalah hari yang penting bagi umat Islam. Ia menandakan peristiwa memperingati penghijrahan Nabi Muhammad SAW dari kota Mekah ke Madinah pada tahun 622 Masihi. Peristiwa bersejarah itu berlaku pada 1 Muharam, tahun baharu bagi takwim hijrah.

Alhamdulillah, satu ‘pesta’ mungkar sudah dapat dicegah. Namun, ada satu lagi acara yang dilihat boleh mengancam kesucian Islam iaitu acara gay yang dikatakan dirancang pada 30 September ini di Kuala Lumpur.

Menurut poster rasmi acara di media sosial, ia dianjurkan sebagai ‘pemanas badan’ menjelang White Party Bangkok selama tiga hari bermula 28 Disember 2017 di Bangkok. White Party Bangkok mendakwa acaranya sebagai festival gay tahunan terbesar di Asia, yang berlangsung di ibu negara Thailand menjelang tahun baharu.

Ismaweb, laman rasmi NGO Melayu Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) yang pertama kali mendedahkan acara itu berkata, mereka difahamkan penganjur menjemput golongan lesbian, gay, biseksual dan transeksual (LGBT) dari seluruh negara.

Perbuatan ini adalah cubaan berterusan pendokong LGBT untuk ‘menakluk’ Malaysia. Dalam perhimpunan haram Bersih 5.0 di ibu kota, 19 November 2016, kelompok LGBT adalah antara kumpulan yang turut sama menyertainya. Kehadiran golongan itu bukanlah sesuatu yang menghairankan disebabkan tuntutan mereka untuk melakukan seks songsang juga terkandung dalam agenda perjuangan Bersih.

Malah kehadiran bekas Ahli Parlimen Australia, Jamie Par­ker iaitu seorang penyokong kuat LGBT dalam perhimpunan haram itu turut membuktikan tuntutan hak untuk melakukan seks songsang di negara ini. Semuanya dibuat atas nama hak asasi manusia yang tiada batasan.

Sesiapapun tidak boleh menafikannya apatah lagi sebahagian ‘orang kuat’ Bersih 5.0 juga adalah pihak yang sama-sama membentuk Gabungan NGO-NGO Hak Asasi Manusia (Comango) pada tahun 2013. Kewujudan Comango pula berkait rapat dengan semakan berkala sejagat (UPR) ke atas Malaysia yang memasuki pusingan kedua melalui Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNHRC) di Geneva, Switzerland, 24 Oktober 2013. Berikutan proses tersebut, Comango menuntut beberapa perkara berasaskan hak asasi manusia dan sebahagiannya jelas bertentangan dengan Islam.

Bagi umat Islam yang mentadabbur al-Quran, membiarkan golongan begini adalah persis mengulangi perbuatan kaum Nabi Lut yang dilaknat dan dimusnahkan oleh Allah. (rujuk al-Anfaal, ayat 80 dan 81). Dalam hal ini, Rasulullah SAW dalam hadisnya turut memberi kenya­taan yang keras bermaksud: Sesiapa yang kamu dapatinya mengamalkan maksiat kaum Nabi Luth, maka bunuhlah peliwat dan yang diliwat. (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Perbuatan songsang dan luar tabie ini juga meliputi golongan lesbian. Nabi SAW bersabda yang bermaksud: Jika seorang lelaki mendatangi lelaki lain (meliwatnya) maka mereka berdua adalah penzina dan jika seorang wanita mendatangi wanita lain (lesbian) maka mereka berdua adalah penzina. (Riwayat al-Baihaqi)

Tindakan tegas dan segera perlu diambil untuk membendung gejala LGBT daripada menular di negara kita. Ini kerana pada November 2014, lebih 2,000 individu dalam kalangan tersebut berjaya dipujuk menyertai pelbagai program anjuran Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi). 
Hasilnya, sebahagian besar daripada mereka kembali menjalani kehidupan muslim yang normal.

Apa yang lebih membimbangkan, perbuatan-perbuatan maksiat ini akan menjadi asbab turunnya bala Allah kepada kita di Malaysia. Bala terjadi disebabkan kemurkaan Allah. Dalam hadis riwayat imam at-Tirmizi, Rasulullah SAW bersabda: Apabila umat aku melakukan 15 perkara, maka halal bagi Allah menurunkan bala. Salah satu daripadanya adalah apabila arak menjadi minuman biasa dalam majlis.