Kecoh Memali dulu dan kini

Oleh Zin Mahmud

Kekecohan dalam forum “Nothing to Hide” di Shah Alam Ahad lepas berlaku apabila terdapat usaha yang boleh mencederakan Pengerusi Pakatan Harapan, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Tindakan yang menyebabkan kekecohan itu sememangnya tidak wajar. Proses politik dalam demokrasi berlaku dalam suasana aman dengan usaha meyakinkan orang ramai dibuat melalui hujah. Semua pihak wajar mendengar hujah secara tenang dan bertamadun, bukannya beremosi dan membaling kerusi serta melancarkan suar.

Adanya suar itu menunjukkan terdapat niat untuk melakukan kekecohan.

Forum “Nothing to Hide” anjuran sayap pemuda PPBM, iaitu Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada). bermaksud “tiada apa yang disembunyikan”, merupakan aktiviti soal jawab terbuka di mana hadirin boleh tanya apa saja kepada pemimpin di pentas.

Asalnya, ia dicadangkan supaya menjadi suatu majlis debat antara Dr Mahathir dan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang juga pengerusi Barisan Nasional (BN) dan presiden Umno.

Tentunya dapat difahami bahawa debat seumpama itu tidak berlaku. Amalan debat secara berhemah belum menjadi budaya politik sivil. Maka program itu menjadi majlis dialog.

Dalam hal ini, pemimpin yang berada di pentas ialah Dr Mahathir yang berusi 92 tahun dan memerintah negara selama 22 tahun, tetap aktif selepas 14 tahun melepaskan jawatan perdana menteri. Tentulah banyak perkara boleh ditanya dan dijawab beliau.

Kekecohan berlaku ketika beliau menjawab mengenai peristiwa Kampung Memali, dan dikatakan orang yang bertanya tidak berpuas hati. Polis mengarahkan supaya program itu dihentikan apabila kekecohan berlaku dan memanggil penganjurnya untuk siasatan.

Pada 5 Ogos lalu, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi juga menimbulkan peristiwa Memali ketika beliau berucap di Baling. Zahid adalah juga menteri dalam negeri.

32 tahun lalu

Peristiwa Memali berlaku pada 1985, iaitu 32 tahun lalu. Ketika itu Dr Mahathir ialah perdana menteri, pengerusi BN dan presiden Umno. Tun Musa Hitam pula timbalannya dan menteri dalam negeri yang bertanggungjawab ke atas peristiwa itu. Musa juga timbalan pengerusi BN dan timbalan presiden Umno.

Ketika peristiwa Memali berlaku, Zahid ialah ketua Pemuda Umno Bagan Datoh dan merupakan seorang ahli perniagaan yang mengetuai beberapa syarikat berhad dan sendirian berhad.

Sementara Najib pula ialah menteri besar Pahang dan menyandang jawatan naib ketua Pemuda Umno, di mana ketuanya ialah Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga merupakan menteri pertanian. Maka ketiga-tiga mereka, Anwar, Najib dan Zahid adalah satu pasukan.

Pada 1985, saya seorang pemberita am untuk akhbar Utusan Melayu dan Utusan Malaysia dengan banyak membuat liputan mengenai politik negara. Saya hadir di galeri akhbar Dewan Rakyat untuk membuat liputan ucapan Musa mengenai peristiwa Memali pada hari ia berlaku.

Beberapa hari kemudiannya, penulis turut hadir dalam perbualan dengan timbalan menteri dalam negeri ketika itu, Tan Sri Radzi Sheikh Ahmad bersama pemberita lain di kafe Parlimen. Pihak media dahagakan kisah sebenar mengenai peristiwa, iaitu di sebalik kenyataan rasmi kerajaan dan khabar angin yang tersebar, antaranya berpunca dari kalangan PAS.

Tanggapan saya ketika itu, setelah menghadiri perbualan tersebut, ialah pihak keselamatan menjalankan tugas sewajarnya walaupun keputusan akhir tindakan terletak pada ahli politik yang mempunyai kuasa. Namun apa yang penulis faham dari perbualan itu, hujah daripada kerajaan adalah menjurus untuk meraih mata politik dengan menggambarkan PAS dan pengikutnya golongan ekstrem yang boleh menimbulkan kekacauan.

Pembangkang utama di Dewan Rakyat pada masa itu adalah DAP dan PAS. Ketua pembangkang ialah Setiausaha Agung DAP, Lim Kit Siang. PAS pula hanya mempunyai seorang wakil, iaitu Datuk Nik Andul Aziz Nik Mat bagi kawasan Parlimen Pengkalan Chepa.

Di luar dewan ketika itu, kedudukan pembangkang amat lemah dan berpecah belah. PAS dan DAP tidak boleh bekerjasama. Sementara Parti Sosialis Rakyat Malaya (PSRM) terlalu kecil untuk memberi sebarang kesan. DAP pula terpecah dengan adanya Parti Sosial Demokratik (SDP) walaupun kesannya amat kecil.

Dalam suasana menjelang pilihan raya umum ke-7, BN pimpinan Dr Mahathir berada dalam kedudukan kukuh. Walaupun politik Sarawak dan Sabah mempunyai dinamiknya tersendiri tetapi keadaan di Semenanjung Malaysia terkawal. Sebarang perpecahan di MCA dan MIC dapat dikawal dan parti Gerakan tidak mengalami sebarang masalah.

Tetapi apa yang penting ialah perpaduan Umno. Walaupun sebelum terdapat pertandingan sengit antara Musa dan Tengku Razaleigh Hamzah bagi jawatan timbalan presiden Umno amat ketat, tetapi ia tidak menjejaskan perpaduan parti.

Ancaman besar bagi Umno datangnya dari PAS yang sedang bersemangat tinggi ekoran pembaharuan pucuk pimpinannya melalui apa yang disebut sebagai proses Kepimpinan Ulama. Walaupun Yang Dipertua Agung PAS ialah Yusof Rawa tetapi pemimpin yang mendapat tarikan orang ramai ialah timbalannya, Datuk Fadzil Nor, naibnya Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Nik Aziz sebagai ketua Dewan Ulama PAS.

Dua aktivis Pemuda PAS yang dapat menarik orang ramai ke ceramah mereka ialah Mohamad Sabu dan Khalid Samad. Tetapi ketika peristiwa Memali berlaku, Mat Sabu berada dalam tahanan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

PAS sendirian bela Memali

PAS membela Ibrahim Libya dan pengikutnya di Kampung Memali. Tetapi pendirian PAS hanya boleh disampaikan melalui ceramah, kaset rakaman dan risalah fotostat.

Sementara kerajaan menguasai semua saluran media, khususnya akhbar, televisyen dan radio. TV1 menyiarkan dokumentari khas Memali yang memberi gambaran buruk bukan saja pada pengikut Ibrahim Libya tetapi juga PAS sendiri. Menteri penerangan ketika itu ialah Tan Sri Rais Yatim.

Umumnya, orang ramai menyokong kerajaan BN dalam hal peristiwa itu. Ahli dan pemimpin Umno secara keseluruhan menyokong Dr Mahathir dalam isu ini. Pihak yang mempersoalkannya hanya PAS dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang memperjuangkan hak asasi manusia dan seringkali memihak pada pembangkang.

Mata politik

Tetapi isu Memali ini tidak relevan ketika negara menghadapi pilihan raya umum ke-7. Kini, ia ditimbulkan sekali lagi untuk digunakan bagi mendapatkan mata politik.

Kali ini ia digunakan oleh pihak BN untuk memberi gambaran buruk pada Pakatan Harapan (PH) yang dipimpin oleh Dr Mahathir.

Kaedah ini juga boleh sedikit sebanyak mengalih fokus orang ramai daripada isu 1MDB yang menjadi punca Dr Mahathir menyertai pembangkang melalui PPBM dan PH.
Tetapi tidak seperti tahun 1985, pihak pembangkang mempunyai laluan media yang lebih meluas iaitu Internet. Walaupun kerajaan masih boleh mengawal Internet tetapi ia tidaklah dapat melakukannya ketika mana orang ramai hanya boleh dapat maklumat daripada akhbar, radio dan televisyen.

Kali ini PAS pimpinan Hadi mempunyai hubungan baik dengan BN pimpinan Najib dan Zahid. Sementara Dr Mahathir, Anwar, Mat Sabu dan Khalid Samad berada pada pihak PH.

Tidak seperti pada 1985, penyokong Umno sudah tidak padu. Begitu juga dengan PAS.
PKR dan PPBM akan menarik sebahagian daripada penyokong Umno sementara Amanah menampung suara penyokong PAS yang mahu bersama PH untuk menimbulkan isu 1MDB.

Zin Mahmud ialah bekas pengarang kanan Kumpulan Utusan.
Share on Google Plus

About Voice Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan