Bukan kami yang bekerjasama dengan Umno, BN, kata PAS

Oleh

KETIKA Pakatan Harapan menggunakan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) untuk memenangi pengundi, PAS yang kini berada dalam pakatan pembangkang baru, Gagasan Sejahtera pula mempertahankan dirinya daripada dakwaan bekerjasama dengan Umno dan Barisan Nasional.

Dalam ceramah selama dua jam di Permatang Pauh semalam, pemimpin PAS bercakap mengenai tuduhan “bermesra” dengan Umno yang dilakukan bekas sekutu dan rakan rapatnya.

Naib Presiden PAS Idris Ahmad turut membandingkan gambar Presiden PAS Abdul HAdi Awang dan Perdana Menteri Najib Razak yang duduk bersama dalam acara dengan gambar menunjukkan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng dengan pemimpin Umno lain, termasuklah Najib dan Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi.

Beberapa gambar menunjukkan Guan Eng yang juga ketua menteri Pulau Pinang bersalam dan memeluk ahli majlis tertinggi Umno yang juga Menteri Kebudayaan dan Pelancongan Nazri Abdul Aziz. Memang diketahui umum yang kedua-dua ahli politik itu mempunyai hubungan baik walaupun dalam pasukan politik yang berlawanan.

“Jika saya yang ada dalam gambar ini, mereka akan kata sah PAS bersama Umno, atau saya ada projek dengan Umno,” katanya.

Dia juga menayangkan gambar lama menunjukkan Ketua Umum PKR dan PH Anwar Ibrahim sedang minum dengan Najib dan memetik laporan media tentang pemimpin veteran DAP Lim Kit Siang yang mengatakan kesediaan untuk bekerjasama dengan BN untuk menyelamatkan Malaysia.

“Tetapi apabila Hadi mencadangkan kerajaan perpaduan, mereka menuduh PAS bukan-bukan,” katanya.

Pada 2009, Hadi mencadangkan penubuhan kerajaan perpaduan di mana semua parti politik Malaysia bertanggungjawab secara kolektif bagi mendepani cabaran bersama dan menyelesaikan masalah negara.

Idris berkata yang antara semua parti politik pembangkang negara ini, PAS ialah parti yang menentang Umno paling lama.

Dia juga menyentuh mengenai dakwaan laman sesawang Sarawak Report bahawa PAS menerima RM90 juta daripada Najib, yang menyebabkan orang Cina marah kepada parti Islam itu dakwanya.

Menafikan dakwaan itu, dia memetik jawapan dalam Dewan Rakyat yang diberikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Paul Low pada Mac lepas yang mendakwa tuduhan itu tidak mempunyai asas untuk disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Kami mengalukan siasatan SPRM. Pejabat kami sentiasa terbuka untuk mereka datang dan siasat,” kata Idris sambil memaklumkan kepada lebih 200 orang yang berada di situ Hadi sudah menyaman Sarawak Report di United Kingdom kerana memfitnah.

Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang Muhammad Fauzi Yusoff yang juga bercakap dalam ceramah di Kubang Semang itu berkata media membuat spekulasi apabila ramai pemimpin Umno termasuk Timbalan Menteri Luar Reezal Merican Naina Merican menghadiri rumah terbuka yang dianjurkannya.

Spekulasi muncul, katanya, ketika wartawan bertanyakan sekiranya kehadiran Reezal bermakna PAS sudah berganding bahu dengan Umno.

“Atas asas apa kami bekerjasama? Yang berkuasa di sini ialah PH. Apa pun, kita perlu tunggu keputusan pilihan raya umum akan datang…lihat sekiranya PH menang atau kalah, dan kemudian kira kerusi yang dimenangi PAS dan Umno.”

Fauzi berkata walaupun masih belum ada kenyataan rasmi, PAS Pulau Pinang akan bertanding lebih daripada enam kerusi yang ditandinginya pada pengundian 2013, kerana sekarang parti Islam itu tidak perlu lagi memberikan kerusi kepada PKR, bekas sekutunya.

PAS juga cuba menjarakkan dirinya daripada PH, apabila Ketua Pemuda PAS Pulau Pinang Afnan Hamimi Taib Azamudden berkata yang politik parti itu berasaskan Islam.

“Semua yang dikatakan PH (tentang PAS) yang kami bersama Umno, yang kami membantu kekalkan Najib berkuasa. Ini ialah politik barat. Bagi mereka, ia sentiasa soal siapa yang berkuasa, kerana itu mereka bertelagah tentang siapa yang patut menjadi perdana menteri PH.

“PAS bukan seperti PH atau Umno yang mengamalkan politik wang, Perjuangan kami lebih luas, ia soal membawa orang mendekati Tuhan dan mengikut nilai dan ajaran Islam.

“Orang fikir PAS kolot dan tertutup tetapi kami terbuka kepada dialog malah dengan pastor Kristian sekalipun. Mereka yang kami temui dalam program antara agama mendapati yang mereka selesa dengan PAS.”

Ketua Bahagian PAS Permatang Pauh Omar Hassan pula memberitahu khalayak yang PAS mahu bertanding dalam kerusi Parlimen yang dimiliki PKR, selain tiga lagi kerusi negeri.

Katanya, Pulau Pinang, di bawah pentadbiran PH berdepan isu seperti kehilangan perkampungan Melayu terutama sekali di bahagian pulau disebabkan pembangunan baru.
Share on Google Plus

About Voice Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan