Masa depan UMNO sudah tiada lagi.

Oleh Zainudin Maidin 

 Bariskan pucuk pimpinan UMNO sekarang dan nilaikan seorang demi seorang maka apakah ada diantara mereka yang layak dan diyakini untuk menjadi Perdana Menteri menggantikan Datuk Seri Najib yang tergugat untuk menjamin masa depan UMNO?

Berbanding dengan barisan  kepimpinan Perdana Menteri pertama Tunku Abdul Rahman yang bila beliau  tidak dikehendaki rakyat,dengan sekelip mata sahaja  nampak  ramai yang lebih berkaliber,diyakini dan lebih diharapkan oleh rakyat untuk mengambilalih darinya.


Tun Razak terbukti membawa transformasi paling berkesan  menerusi FELDA  danDEB, Tun Dr. Ismail memperteguhkan tembok  keselamatan negara  dengan pindaan  Akta Hasutan dan Dr.Mahathir tanpa merombak prinsip asal menguruskan pemodenan dan perubahan besar  tidak sahaja dalam pembangunan physical tetapi juga  minda rakyat dengan Malaysia Boleh yang menjayakan misinya membina maruah bangsa dan negara.

Walaupun beliau membebaskan 21 orang yang terinanya di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri(ISA) tetapi beliau  tidak berganjak dari dasar ini yang telah membolehkan negara terus stabil  melaksanakan  semua dasar utamanya dengan   berkesan sekalipun dikutuk oleh pembangkang dan dunia antara bangsa.

Di  Singapura walaupun Perdana Menterinya bertukar ganti tetapi ia  juga tidak berganjak dari akta keselamatannya yang membolehkan PAP terus memperkukuhkan kedudukannya dan kestabilan negara  hingga kini tanpa mempedulikan cacian dari pendakwah demokrasi Barat.

Kepada legasi kepimpinan Singapura, wasiat  Perdana Menteri Pertamanya Lee Kuan Yew  " Jangan diganggu dasar-dasar utama  yang telah ditetapkan dan sekiranya ini berlaku maka sekalipun saya  berada di katil sakit atau ketika saya diturunkan  ke liang lahad, saya akan bangun untuk mencegahnya..."  terus menghantui pemikiran rakyat dan pimpinan negara itu.

Tetapi di Malaysia setelah empat  Perdana Menteri bertukar ganti,tiba-tiba Perdana Menteri ke Lima Abdullah Badawi  atas nasihat menantunya untuk menempah sejarah  lebih besar  dari  Tun Dr.Mahathir  telah  menjanjikan kebebasan bertaraf demokrasi  dunia kepada rakyat.

Sekaligus beliau mengesahkan Dr.Mahathir sebagai authoritarian dan kemudian menamparnya mukannya dengan beberapa perubahan yang bersifat sabotaj terhadap dasar dan projek Mahathir.

Abdullah memberikan berjuta ringgit ganti rugi kepada hakim-hakim yang telah terhukum  oleh Mahathir kerana menjadi penghalang kepada dasar-dasar  negara. Projek-projek  bervisi yang boleh meninggikan lagi kedaulatan dan maruah negara dalam mencapai wawasan 2020 dibatalkan.

Dasar menghapuskan mercu warisan  inilah yang  diteruskan oleh Datuk Seri Najib apabila menggantikan Abdullah untuk menjadi lebih besar dari semua perdana-perdana menteri terdahulu. Dengan bangganya  Najib mengistiharkan beliau menyambung prinsip-prinsip yang diasaskan oleh Pak Lah.

Beliau bukan meneruskan prinsip asal yang ditinggalkan oleh Tunku Abdul Rahman,Tun Razak dan Tun Dr.Mahathir. Belaiu lebih berani untuk memberikan kebebasan dan keadilan bagi semua sekalipun meruntuhkan asas keselamatan negara.

Najib mahu menjadi Bapa Demokrasi Malaysia. Maka beliau mengistiharkan untuk menghapuskan Akta Hasutan dan Undang-Undang Keselamatan Dalam Negeri(ISA) yang tidak sekadarkan disambut baik oleh  dari parti-parti pembangkang tetapi mereka menuntut demokrasi yang lengkap  sehingga menimbulkan kebimbanagan dan ketakutan orang Melayu yang bersatu menentangnya.

Di Parlimen walaupun diperlekehkan oleh anggota pembangkang dan anggota kerajaan sendiri yang liberal, anak Kelantan  Ibrahim Ali nyaring  menentang pemansuhan ISA dan Akta Hasutan walaupun beliau pernah menjadi mangsanya.

PERKASA pimpinannya juga secara diam-diam menentang  cadangan  Model Ekonomi Baru yang mahu melupuskan semangat DEB supaya terlihat adil pada semua kaum mengikut penilaian pemodal asing.  

Walaupun  tugu-tugu keagungan UMNO yang tersemat di hati Melayu tidak terhapus menerusi proses Parlimen  tetapi satu demi satu runtuh kerana kelemahan kepimpinan yang tersepit yang mengutamakan populariti  untuk menjadi lebih besar dari Tunku,Tun Razak dan Mahadhir.

Maka tergugatlah FELDA yang ditempah kejayaanya dari keringat para petani Melayu miskin,terselewenglah Tabung Haji yang terkumpul dari wang orang Islam yang setia mencintai Allah ,timbullah keraguan kepada KWSP,Wang Persaraan dan Bank Rakyat.

Kerana dua Perdana Menteri mahu menjadi lebih ternama dan teragung dari Dr. Mahathir maka hari ini rakyat di seluruh negara berada dalam krisis kehilangan keyakinan yang tidak pernah mereka rasakan dari sejak Tunku  Abdul Rahman, Tun Abdul Razak, Tun Hussein Onn dan Tun Mahathir.

Mereka merasa harapan dan amanah yang diletakan kepada kepimpinan negara telah dikhianati.

Bagaimanakah rakyat akan diyakinkan semula jika semua media kerajaan tidak lagi diyakini. Berita  TV3 tidak lagi di tonton, akhbar-akhbar harian perdana tidak terjual.

Rakyat tidak lagi percaya kepada angka-angka pertumbuhan ekonomi dan cerita kedatangan modal berbillion-billion.Mereka sinis terhadap Transformasi Nasional 50 (TN 50) sedangkan mereka belum melihat wawasan 2020 menjadi realiti.

Trajidi ini berlaku  kerana pengurusan ekonomi dan politik negara berjalan secara ad hoc , gopoh gapah ,tidak  menilai integriti, flip flop dan tidak konsisten kerana mahu menutup kecurangan besar yang telah berlaku

Wawasan 2020 yang menjadi matlamat jelas  rakyat  dikelirukan dengan Transfomasi Nasional 50, suatu pengkhianatan terhadap Mahathir . Proton tidak lagi merupakan kereta nasional yang suatu masa dahulu menimbulkan  rasa kebanggaan rakyat pada diri sendiri,tanah negara menjadi milik asing  dan banyak lagi ciri-ciri trajidi ekonomi dan politik yang menghakiskan jasa-jasa UMNO yang lalu yang menjadikan orang Melayu berbangga dan terikat  pada UMNO.

Rakyat mengenang era  Mahathir  sebagai era teragung dan bermaruah dalam sejarah negara,Mahathir memberikan pengertian kepada kuasa rakyat di era pemerintahannya  dengan   memperkukuhkan  kesucian Institusi Raja supaya terus dihormati dengan tidak mencampuri urusan rakyat.Bila raja campur urusan rakyat  maka raja menjatuhkah taraf mereka.

Semua ini hanya tinggal kenangan.Telah berlalu suatu zaman bersejarah emas dibawah kepimpinan UMNO yang berintegriti, dihormati dan dikagumi,dari Tunku sampai ke Mahathir  dan  tiba kepada zaman keruntuhan  di bawah pimpinan UMNO yang sedang menghadapi masalah besar untuk menebus kembali maruah bangsa,agama  dan negara.

Sukar untuk menebus kembali keyakinan rakyat setelah keruntuhan berlaku satu demi satu. Masa depan UMNO sudah tidak ada lagi kerana jasanya yang tersemat di hati rakyat telah terpadam  dan tidak ada lagi bersinar tugu-tugu yang mungkin boleh mengingatkan mereka untuk meneruskan sokongan kepada UMNO.

Masa depan UMNO sudah tiada lagi.
Share on Google Plus

About Voice Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan