Manifestasi Kerendahan Nilai Dan Martabat Kepimpinan

OLEH ABDUL HADI OMAR

1. Penganjuran pertunjukan fesyen separuh bogel di Aman Central pada 20 dan 21 Mei baru-baru melibatkan perasmian oleh Menteri Besar, Dato' Seri Ahmad Bashah Md Hanipah merupakan 'tahap penghormatan' kepada teraju Kerajaan Negeri Kedah ketika ini.


2. Ia adalah manifestasi kepada resam kepimpinan dibawa Umno-BN dalam pemerintahan ini sendiri. Satu persembahan luar biasa dan asing dari budaya dan gaya hidup masyarakat di negara ini khususnya Kedah, tetapi disembah peraga di hadapan pemimpin.

3. Tiada malu dan segan silu yang menjadi petunjuk bahawa pemimpin berkenaan juga ada kecenderungan atau kebiasaan seperti itu. Ini bukan keterbukaan, tetapi ukuran tercemar dan menyelewengnya nilai atas penghormatan dan maruah.

4. Semasa Kedah diperintah PAS di bawah teraju Almarhum Tan Sri Ustaz Azizan Abdul Razak, wujud kefahaman 'semulajadi' masyarakat kepadanya hingga papan iklan wanita juga bertudung walaupun belum ada garis panduan tetap mengenainya.

5. Hinggalah pernah kerajaan memperkenalkan etika pakaian sopan yang antara tujuannya memelihara dan memandang tinggi martabat wanita, malangnya ia dibantah rakan komponen Umno-BN iaitu Gerakan.

6. Kini, 'santapan' menjolok mata itu disaji secara terbuka untuk dinikmati Menteri Besar. Ia penghinaan natijah dari asas pemerintahan yang dibawa ketika ini. Bayangkan, jika sedemikian penampilan terbuka, bagaimana mungkar dan maksiat tersembunyi?

7. Kita khuatir kerajaan sendiri bukan hanya bersubahat, tetapi menjadi penaja dan penaung penganjuran seperti majlis Golden Wing and Sahara Wave Meet and Greet Session dan Exotica Fire Show Performance itu. Ia sangat jelik dan memalukan.

8. Lebih dikesali ia berlaku dalam bulan Sya'ban yang dimuliakan dan sangat menghampiri Ramadan. Maka, kami nasihatkan agar takutlah kepada Allah dan kembali kepada Islam secara syumul.

9. Didiklah rakyat ke jalan keredaan-Nya, nescaya kita semua akan selamat. Dengan rahmat-Nya, pasti pemimpin dan rakyat juga tidak akan berwewenangan berkelakuan seperti itu. Masih belum terlambat untuk membetulkan keadaan.

"Sejahtera Bersama Islam"
"Mara Menuju Cita"
ABDUL HADI OMAR
Ketua Penerangan
Dewan Pemuda PAS Negeri Kedah
Share on G
Share on Google Plus

About Voice Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan